Ulama PAS Gesa Najib Tampil Alasan Kukuh Untuk Nafi Dakwaan WSJ



SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak sepatutnya hanya berdiam diri terhadap tuduhan The Wall Street Journal (WSJ) ke atasnya.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali memberitahu negara akan berdepan dengan implikasi yang besar sekiranya dakwaan itu menjadi 'bukti' wujudkan saluran dana berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi Najib.

"Tuduhan ini mestilah dileraikan segera dengan sebuah penyiasatan yang adil dan telus serta menyeluruh. 

"Jika disabitkan benar dakwaan itu, maka tindakan undang-undang dan hukuman mesti dikenakan kepada semua yang terlibat dalam skandal yang telah mencemarkan dan memalukan negara di peringkat antarabangsa. 

"Jika tidak benar, tindakan tegas mesti diambil terhadap pelapor tuduhan palsu kerana ia menimbulkan kekalutan dan ketidaktentuan kepada politik dan ekonomi negara," katanya dalam datu kenyataan hari ini.

Malah keengganan Najib memberi jawapan balas, ditambah dengan ketidakstabilan persekitaran ekonomi negara juga akan menyebabkan pelabur-pelabur menarik diri, sekaligus membantutkan perkembangan pelbagai sektor di Malaysia.

"Pendedahan akaun peribadi seumpama ini juga bakal merosakkan kepercayaan rakyat dan dunia serta menjejaskan sistem perbankan negara," ujarnya.

Sehubungan itu jawatankuasa khas yang terdiri daripada Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, Ketua Polis Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang ditubuhkan khusus bagi menyiasat perkara ini supaya menjalankan tugas dengan amanah kerana melibatkan hak rakyat dan harta negara.

WSJ sebelum ini mendedahkan sejumlah AS$700 juta (RM2.6 bilion) disalurkan ke akaun Najib, memuat naik dokumen dalam talian yang didakwa sebagai 'bukti' menunjukkan pengaliran wang berkenaan.

'Bukti' berkenaan didakwa sebagai borang permohonan kiriman wang, surat kebenaran deposit tunai dan carta yang menggariskan aliran wang tersebut yang kononnya diperoleh daripada 'siasatan kerajaan Malaysia'.

No comments

Post a Comment

Home