JERANTUT 4 Julai - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini menetapkan harga lantai bagi lima jenis buah-buahan tempatan bermusim bagi mengatasi masalah kerugian kepada pengusaha akibat lambakan buah-buahan berkenaan di pasaran.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Isamil Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, harga lantai berkenaan hanya terpakai kepada pengusaha buah-buahan yang menjual kepada pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
"Macam saya umum sebelum ini harga lantai bagi buah-buahan yang terlibat akan diumumkan tahun depan tapi sebab nak pastikan harga buah-buahan tempatan tahun ini stabil maka kita umum harga lantai hari ini.
"Harga lantai bagi lima jenis buah-buahan yang terlibat (bagi setiap kilogram) ialah durian D24 yang dijual dengan harga RM1.80 sekilogram, durian kampung RM1, rambutan (anak sekolah, seli, gula batu) RM1, manggis RM1.50, cempedak kampung RM1, dokong RM1 dan duku langsat RM1," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Pemasaran Buah-buahan bermusim di Pejabat FAMA Jerantut, dekat sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak, Pengarah FAMA Negeri Ibrahim Mahmood, Anggota Parlimen Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Anggota Parlimen Lipis Datuk Abdul Rahman Mohamad.
Ismail Sabri berkata harga berkenaan boleh dijadikan sebagai garis panduan kepada pengusaha buah-buahan yang lain jika mereka ingin menjual kepada pihak selain FAMA.
Selain itu katanya, penetapan harga lantai itu membantu petani dengan memastikan harga buah-buahan tidak jatuh terlalu rendah sehingga merugikan petani. - BERNAMA
No comments
Post a Comment