MIRI 4 Julai - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lima bulan meninggal dunia dipercayai didera oleh ibu dan bapa angkatnya di rumah mereka di Desa Pujut, Permyjaya hari ini.
Mangsa, Bryan Yusuf dilaporkan mengalami kecederaan pada beberapa anggota badan termasuk patah kaki, malah terdapat kesan puntung rokok di bahagian bahunya.
Pemangku Ketua Polis daerah, Superintenden Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Miri pada pukul 12.32 tengah hari.
Menurutnya, kanak-kanak malang terbabit sebelum itu dilaporkan dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Miri.
“Susulan itu, kita telah menahan ibu bapa angkat mangsa yang berusia 28 dan 32 tahun untuk membantu siasatan.
“Ketika keterangan diambil, kedua-dua suspek mendakwa kanak-kanak itu terlibat dalam kemalangan sehingga mengakibatkannya mengalami kecederaan di beberapa anggota badan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini.
Tambah Stanley, pemeriksaan awal pegawai perubatan Hospital Miri mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada anggota badan mangsa disyaki akibat didera.
"Siasatan lanjut mendapati pasangan suami isteri itu telah mengambil kanak-kanak lelaki tersebut sebagai anak angkat pada Disember tahun lalu.
“Kedua-dua suspek yang mempunyai seorang anak kandung berusia lima tahun kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
SUMBER : UtusanHarian
No comments
Post a Comment