Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman perlu sedar skandal 1MDB melibatkan Najib lebih banyak mendapat liputan akhbar asing dan sehingga kini persoalan yang berlegar di fikiran rakyat masih belum dapat dijawab. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 Julai, 2015. |
Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan wawancaranya bersama akhbar luar negara, The New York Times memalukan negara, sebaliknya skandal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1Malaysia Development Berhad lebih memburukkan Malaysia di mata dunia.
Bekas perdana menteri itu berkata, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman perlu sedar skandal 1MDB melibatkan Najib lebih banyak mendapat liputan akhbar asing dan sehingga kini persoalan yang berlegar di fikiran rakyat masih belum dapat dijawab.
"Sesungguhnya yang memalukan negara ialah Najib dengan 1MDBnya. Sebelum ini negara tidak pernah dicemuh dengan tuduhan-tuduhan yang tidak terjawab seperti sekarang.
"Seluruh dunia tahu berkenaan Najib, Jho Low dan 1MDB. Ini disebabkan akhbar terkenal Washington, New York dan London menyiarkan rencana panjang sehingga empat muka berkenaan skandal 1MDB, Najib dengan cara hidup mewahnya, Jho Low sahabat karibnya dan Riza Aziz, anak tirinya yang membiayai filem lucah “The Wolf of Wall Street," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian menerusi entri terbaru di blog popularnya chedet.cc yang bertajuk "Memalukan Negara" hari ini.
Dr Mahathir berkata Anifah juga tidak berasa malu apabila kajian pakar Barat mendakwa Malaysia adalah satu dari sepuluh buah negara yang mempunyai tahap rasuah yang tertinggi di dunia.
Katanya, semua laporan yang memburukkan Malaysia berlaku lebih awal lagi sebelum kritikan dan serangan dilancarkan kepada Najib.
"Tetapi Anifah tidak berasa malu dengan semua laporan ini. Tidak ada sepatah pun disuarakan olehnya.
"Jika Anifah tahu malu, di waktu akhbar-akhbar ini buat laporan, dia sepatutnya sudah berasa malu. Dia sepatutnya menyoal Najib akan skandal berkenaan dan laporan akhbar asing.
"Dia sepatutnya menasihat Najib supaya tidak bersahabat dengan Jho Low dan melarang anak tirinya dari berlagak sebagai hartawan kaya," katanya.
Beliau berkata jika di negara lain terdapat skandal melibatkan seseorang pemimpin, mereka akan meletak jawatan dan memohon maaf.
"Tetapi di Malaysia ada orang yang mempertahankan pemimpin tanpa sebab, hanya kerana keselamatan jawatan," katanya. – 7 Julai, 2015.
No comments
Post a Comment