BAM lulus skim gaji lebih baik



PETALING JAYA
Pemain badminton negara boleh menjangkakan masa depan mereka akan lebih baik, termasuk mungkin mendapat pencen menerusi skim yang bakal diwujudkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Bagaimanapun, pemain-pemain sudah boleh berasa lega apabila BAM, dalam usaha menjaga kebajikan para pemainnya, telah mewujudkan skim pendapatan yang lebih baik untuk mereka.
Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff berkata, skim baharu yang diluluskan itu merupakan penambahbaikan kepada skim sebelum ini, termasuk peningkatan besar dari segi elaun bulanan berdasarkan kepada ran­king serta bonus kemenangan dalam kejohanan yang disertai.
Katanya, skim baharu itu membolehkan pemain menjalani kehidupan selesa selain berusaha lebih keras untuk meraih kedudukan yang lebih baik pada masa akan datang.
“Skim ini dibuat kerana sebelum ini para pemain sukar untuk ber­urusan (dengan institusi kewangan) terutamanya untuk mendapatkan pinjaman perumahan, kenderaan dan sebagainya.
“Penambahbaikan ini juga berkemungkinan menyaksikan skim pencen diwujudkan kerana Penaung BAM, Datin Seri Rosmah Mansor juga mahukan kebajikan pemain lebih terjamin.
“Bagaimanapun, kami tidak boleh mendedahkan butiran terperinci kerana kami perlu berbincang dengan setiap pemain mengenai perkara ini tetapi apa yang pasti, skim ini jauh lebih baik berban­ding sebelum ini,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan BAM, di sini semalam.
Pada awal tahun ini, barisan pemain menerima elaun bulanan di antara RM2,500 hingga RM10,000 dan menerusi skim baharu yang diperkenalkan itu, pemain utama negara dijangka meraih pendapatan melebihi ratusan ribu ringgit setahun.
Skim baharu itu bagaimanapun tetap berdasarkan kepada ranking semasa tetapi mengambil kira beberapa faktor lain seperti kecede­raan pemain dan sebagainya.

SUMBER : UtusanHarian

No comments

Post a Comment

Home